Followers

Thursday 13 December 2012

Perdana Menteri Malaysia-4
Tun Dr.Mahathir Mohamad

Pendidikan

Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak bongsu dikalangan sembilan(9) orang adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945. 

 
Perkahwinan

Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar.

Kerjaya

Pada tahun 1957, setelah tamat kontraknya dengan kerajaan, Dr. Mahathir dengan bantuan dan kerjasama Dr. Siti Hasmah telah membuka klinik persendirian yang bernama Klinik MAHA, di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Klinik MAHA merupakan klinik Melayu pertama di Negeri Kedah. Selain daripada perkhidmatan perubatan, klinik MAHA juga telah menjadi pentas untuk beliau menjalankan aktiviti-aktiviti perkhidmatan komuniti setempat. Keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan oleh Sunday Times di bawah nama pena 'C.H.E Det' antara tahun 1946-1950. Penulisan merupakan satu dari minat Dr. Mahathir hinggalah ke hari ini. Pada tahun 1945, semasa beliau masih dibangku sekolah, Dr. Mahathir telah menjadi penyunting Darulaman, majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau juga berkhidmat sebagai penyunting sebuah majalah yang diterbitkan oleh kolej perubatan di mana beliau menuntut. Kegigihan dan semangat untuk menyuarakan pendapat melalui penulisan telah menyebabkan beliau menghasilkan pelbagai jenis penerbitan termasuklah buku "Dilema Melayu" yang diterbitkan dalam tahun 1970.
 
 
Pencapaian dan Sumbangan

Pada tahun 1997, majalah Asiaweek telah menamakan Dr.Mahathir sebagai antara 50 individu yang paling berkuasa di Asia, dimana beliau menduduki tempat kedua dalam senarai yang dikeluarkan oleh majalah tersebut. Penamaan beliau memang tepat kerana ekonomi dunia ketika itu berada dalam kegawatan manakala krisis matawang melanda kebanyakan negara di dunia terutamanya negara-negara di Asia seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. Dr. Mahathir berjaya mengawal kegawatan ekonomi dengan menambat ringgit kepada dollar Amerika, satu pendekatan yang mendapat kritikan hebat pada mulanya oleh badan kewangan dunia seperti Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF). Terbukti kesannya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya melepaskan diri daripada belenggu kegawatan tersebut tanpa perlu 'mengikat diri' kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh IMF seperti yang berlaku kepada negara-negara lain di Asia. Malah, Pengurus Besar IMF, Horst Kohler, pernah memuji tindakan yang diambil Dr. Mahathir dalam mengawal matawang negara. Kedudukan beliau sebagai Chief Executive Officer (CEO) Malaysia adalah sesuai dan tepat dengan visi yang beliau rancang dan sasarkan. Dr. Mahathir telah mengubah sektor ekonomi asas negara daripada sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada sebuah negara berasaskan perindustrian. Detik-detik awal beliau diamanahkan menjadi Perdana Menteri Malaysia, sektor ekonomi negara pada ketika itu banyak bergantung kepada bahan komoditi utama seperti getah, kelapa sawit, timah dan industri petroleum yang masih lagi diusahakan secara kecil-kecilan.

 
 
Memandangkan komoditi tidak dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, maka pada awal tahun 1980-an Dr. Mahathir telah membuat keputusan untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi negara dan sekaligus mengurangkan pergantungan terhadap bahan komoditi. Keputusan yang beliau ambil adalah tepat kerana pada pertengahan tahun 1980-an, harga bahan-bahan komoditi jatuh dengan teruk. Hal ini ditambah pula dengan peningkatan nilai matawang Yen yang menyebabkan berlaku kegawatan ekonomi selama beberapa tahun. Dr. Mahathir telah memperkenalkan dasar Persyarikatan Malaysia iaitu suatu dasar dimana Malaysia diandaikan sebagai sebuah syarikat dan rakyatnya sebagai pekerja dan pemegang saham. Beberapa agensi kerajaan telah diswastakan untuk meringankan bebanan kewangan kerajaan diantaranya Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Telekom telah disenaraikan sebagai korporat awam. Persyarikatan Malaysia telah berjaya meningkatkan prestasi, daya pengeluaran serta imej negara. Di antara langkah-langkah lain, ialah peningkatan pembagunan industri berat seperti penubuhan industri otomotif negara, yang menunjukkan kereta-kereta dan motosikal nasional adalah yang terlaris di Malaysia. Usaha beliau ke arah meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan saham sektor perusahaan dan perdagangan dengan penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional serta Amanah Saham Bumiputera dan beberapa saham amanah dalam porfolio PNB. Masalah kewangan sering menjadi perhatian beliau dan antara tugas penting beliau adalah memastikan perbelanjaan kewangan negara berada dalam keadaan terkawal. Dasar penswastaan negara ialah contoh pengurusan kewangan beliau yang agak memberangsangkan walaupun mencetus kontroversi di awal perlaksanaannya. Dasar yang diperkenalkan di penghujung tahun 1980-an ini bertujuan mengurangkan perbelanjaan oleh pihak kerajaan di samping memberi perkhidmatan yang lebih baik.

 
 
Dasar ini juga membawa perubahan yang sangat besar terutamanya dalam bidang teknologi kerana pihak-pihak yang terbabit perlu mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan murah tetapi bermutu tinggi. Selain projek kereta nasional, satu lagi projek besar (mega project) hasil cetusan beliau ialah Koridor Raya Multimedia [Multimedia Super Corridor (MSC)]. Projek ini ilhamkan dan direalisasikan memandangkan peri pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia perdagangan masa kini dan masa depan. Projek-projek besar yang dibangunkan dan direalisasikan semasa pentadbiran beliau antaranya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Nasional Bukit Jalil, Litar Antarabangsa Sepang, tempat perlumbaan sukan permotoran berprestij Formula One dan Menara Berkembar Petronas(KLCC). Projek-projek ini secara tidak langsung berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun yang dikenali dunia. Malah corak pentadbiran dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri menyebabkan negara ini disegani dunia. Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia.

 


 


 


 
 


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 


 
 

 

No comments:

Post a Comment